Tuesday, July 03, 2012

Tips Penjagaan Kucing


Menjaga Bulu Kucing Parsi


Kucing Parsi tergolong di dalam kategori long-haired, dimana ia mempunyaidouble coat yang membentuk lapisan bulunya. Lapisan pertama adalah pendek, tebal dan padat manakala lapisan kedua pula lebih panjang, jarang dan lembut. Jika anda memelihara kucing Parsi, maka anda perlu menyikatnya setiap hari.

Ini kerana bulunya amat mudah berselirat, tergumpal dan memerangkap kotoran. Sepertimana kucing long-haired yang lain, kucing Parsi mudah membentuk mats yang terjadi akibat gumpalan bulu yang sudah gugur tetapi terperangkap di antara bulu yang sedang tumbuh. Gumpalan ini akan semakin membesar kerana ia menarik bulu-bulu lain dan ini akan menyebabkan kesakitan pada kulit kucing jika ditarik.

Gumpalan ini biasa terjadi pada kawasan yang sukar dicapai oleh kucing. Percayalah, kucing Parsi anda tidak akan mampu menjaga keseluruhan bulunya dan anda perlu membantu kucing anda dalam hal ini. Menyikat bulu kucing pada setiap hari dapat mencegah anda dari masalah yang lebih memakan masa dan menyakitkan pada masa akan datang.

Antara kawasan yang biasa terjadinya gumpalan dan simpulan adalah ketiak, abdomen, belakang telinga, ekor, bahagian bawah ekor dan bahagian belakang kaki belakangnya. Walaupun ianya nampak remeh tetapi ingatlah bahawa gumpalan bulu ini biasanya terjadi hampir pada permukaan kulit. Bukan sahaja bulunya yang terperangkap di situ malah segala kekotoran dan kelembapan yang menyebabkan kulit mengalami ruam dan kepedihan. Untuk kes yang serius, anda mungkin perlu membawanya ke vet untuk dicukur keseluruhan bulunya.

Menyikat juga dapat mengurangkan bebola rambut atau hairball yang terkumpul di dalam perut. Bebola rambut ini merupakan bulu gugur yang terperangkap di dalam perut kucing semasa ia mengandam atau menjilat bulu-bulunya.

Sikat yang terbaik adalah dari jenis metal comb dengan giginya yang panjang, sesuai dengan bulu panjang yang dimiliki oleh kucing Parsi. Sesetengah kucing tidak menyukai sesi menyikat ini namun ia masih boleh diajar. Jika terlalu sukar dan kucing anda sentiasa melarikan diri, berikan makanan sebagai hadiah setelah selesai sesi menyikat. Sesi menyikat ini lebih mudah diajar pada anak kucing berbanding kucing dewasa. Jika semuanya berjalan lancar, kucing anda pasti akan mengiau keseronokan dan mula berbaring setiap kali melihat anda mengeluarkan sikatnya.

Memandikan Kucing Parsi


Kucing Parsi juga perlu dimandikan tetapi tidak perlulah sehingga tiap-tiap hari. Bergantung kepada keadaan, sekadar 3-4 hari sekali atau seminggu sekali pun sudah cukup. Ini adalah untuk menjaga kebersihan bulunya agar kekal sihat, bersih dan lembut terutamanya jika kucing anda berbulu putih.

Kebersihan Muka dan Telinga


Mata dan hidung kucing Parsi cenderung untuk menghasilkan sisa lebih dari kadar biasa berbanding kucing lain. Ini adalah kerana bentuk fizikal bahagian kepala kucing Parsi itu sendiri. Anda perlu mengawasi dan membersihkannya dengan menggunakan kapas atau kain lembab.
Periksa juga bahagian dalam telinga jika ada lapisan yang berminyak. Lapisan berminyak itu adalah untuk memerangkap kotoran dan jika dibiarkan, kotoran dan habuk itu akan menjadi keras dan merimaskan kucing itu sendiri. Bersihkan telinganya dengan menggunakan putik kapas lembab.

1 comment:

NIZAM said... Reply To This Comment

was here, follow back and let's make a friend

This Blog is Protected. Copyright 2010 - 2012 © Design By Miss Noorapipah Aslee